Selasa, 18 Oktober 2011

Tahniah kepada semua!

           Alhamdulillah, setelah sepuluh bulan menanti, tamat lah secara rasminya gelaran saya sebagai pelajar ijazah sarjana muda di UIAM. Pejam celik, sepuluh bulan bukanlah jangka masa yang lama bahkan tempoh enam tahun belajar di sini juga telah berlalu tanpa disedari. Ya, ia sangatlah sekejap walaupun pada mulanya dirasakan sangat lama. Hujung minggu lepas semua bekas pelajar UIAM pulang ke Taman Ilmu dan Budi untuk menggenggam skrol tanda tamat belajar secara rasmi. Suasana seronok dan teruja semuanya dapat dirasakan oleh graduan-graduan. Tidak kurang rasa hiba dan sayu kerana inilah penamat bagi ikatan sebahagian besar graduan dengan Taman Ilmu dan Budi ini, dan juga kerana ia merupakan titik perpisahan dengan rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah sebelum membawa haluan masing-masing.

          Ada yang sudah bekerja, menyambung pengajian di peringkat sarjana, sedang mencari pekerjaan bahkan ada juga yang telah mendirikan rumahtangga. Yang pasti, pasca graduasi bukanlah satu situasi yang mudah kerana disinilah dunia sebenar yang perlu ditempuhi dan cabarannya sangat menduga mental dan emosi. Pada waktu inilah ramai graduan yang akan merasa betapa manisnya waktu belajar di kampus, tanpa tanggungjawab yang perlu difikirkan, tanpa tekanan daripada orang lain, bebas melakukan apa sahaja dan bebas membuat keputusan tanpa perlu menghiraukan banyak perkara. Selepas tamat belajar, macam-macam perkara yang harus difikirkan, karier, berumahtangga, membalas jasa ibu ayah, bayar hutang PTPTN, etc... Pokoknya memang akan berat kepala bila memikirkan semua ini, kalau sudah bekerja lain pula ceritanya. Memang hidup ini bukanlah semudah yang disangka, tetapi semua orang yang mendahului kita telah melaluinya, sekarang giliran kita pula.

          Apa pun cabaran yang mendatang, saya doakan agar kita semua dapat melaluinya dengan baik. Insya Allah khair kulluh. Dan sempena hari bersejarah anda dan saya, saya ucapkan TAHNIAH! atas kejayaan kita semua menamatkan ijazah sarjana muda masing-masing. Yang pasti ilmu, pengalaman, dan kemahiran yang kita timba di Taman Ilmu dan Budi pasti akan disimpan elok-elok dalam lipatan kenangan kita semua. (^_^)

         

Tiada ulasan: