Sabtu, 24 Ogos 2013
NEUTRALITI DAN 'PARTIAL' ITU WAJIB.
Mesir kembali berdarah dengan lebih ramai terbunuh dek tangan-tangan tentera Mesir sendiri atas arahan Al-Sisi. Ironik sekali melihat keadaan Mesir melihatkan pertembungan dua suara dalam kelompok muslim sendiri. Suara yang menyokong rampasan kuasa dengan jaminan bantuan kewangan kepada tentera dan suara yang menentang Morsi digulingkan atas banyak sebab. Sebahagian mereka penyokong tegar Ikhwan, sebahagian Islamis, sebahagian yang lain melihat ketidak adilan berlaku disebabkan kudeta ini menyalahi proses demokrasi bahkan memusnahkannya.
Apa yang kita dapat perhatikan Saudi dan beberapa negara Arab lain menyokong kudeta (coup d'etat), sehingga sanggup untuk memberi bantuan kewangan kepada kerajaan tentera Mesir. Tidak dapat difahami oleh akal yang waras kenapa Saudi dan negara-negara Arab ini sanggup menyokong tentera Mesir yang akhirnya membawa kemusnahan beribu nyawa dan material, dan sehingga hari ini masih belum kedengaran suara lantang mereka memarahi tentera kerana memusnahkan nyawa tidak bersalah apatah lagi memusnahkan demokrasi itu sendiri (mana mungkin nk sokong demokrasi kerana mereka semua monarkis totalitaris). Terlalu jelas sokongan mereka itu disebabkan kebencian kepada Ikhwan atau juga mungkin sebab 2 lain yang bersifat kepentingan peribadi pemimpin2 ini. Menambah parahkan keadaan bila ulama yang menggelar diri mereka dan digelar 'salafi' (menjadi salafi tidak bererti mesti buta mata hati pada kezaliman) dan ulama2 pemerintah menyokong, mengiyakan, ataupun diam kepada kudeta dan kezaliman ini. (alasan utama kerana haram melawan pemerintah - yeah *#$%^!!)
Dalam masa yang sama kita melihat ramai yang Islamis yang menyokong Morsi mengatakan demokrasi tidak Islamik dan kerana demokrasi lah Morsi dan Islam tumbang. Ramai yang mendakwa ini tidak lain tidak bukan untuk menghancurkan Islam. Momokan sistem khilafah lah yang terbaik, demokrasi dan Islam mana mungkin dapat berjalan sekali dan seumpamanya begitu banyak dapat kita lihat dalam kenyataan rakan - rakan muslim kita. Seruan kemenangan untuk Islam berlegar dalam banyak kenyataan - kenyataan rakan-rakan seIslam yang lain. Ini mengaburkan mata ramai dari kalangan mereka untuk bersifat kritikal terhadap tindakan Ikhwan dan juga Morsi. Dikatakan Morsi itu lambang kemenangan Islam, (mungkin ya) tapi itu tidak memaksumkan dia daripada tindakan yang salah dan sebarang kritikan. Neutraliti itu perlu dalam memandang kepada sesiapa sahaja yang berada di tampuk kepimpinan. Sikap sebahagian orang Islam yang sebiginilah yang merosakkan kebaikan dan memandulkan usaha untuk mencapai matlamat yang lebih besar, matlamat untuk mencapai (Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur) iaitu negeri yang sejahtera dan baik dan mendapat keampunan Tuhan.
Kita melihat sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan wajar menerima kritikan keras sekiranya dasar dan tindakannya mengabaikan kepentingan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat apatah lagi menggadaikannya. Soal integriti, isu kronisme, nepotisme dan idealisme serta hala tuju negara juga patut menjadi persoalan yang sentiasa ada dalam benak rakyat dan pemimpin untuk menjamin bersihnya sesuatu pemerintahan daripada anasir merosakkan. Sedar atau tidak isu - isu yang saya bangkitkan di atas ini lah yang sepatutnya menjadi keutamaan sekiranya kita benar-benar menghayati Islam itu sendiri. Islam itu sejahtera, Islam itu keadilan, Islam itu rahmat sekalian alam. Justeru di mana tempat Islam kalau keadilan, kebajikan dan kesejahteraan sejagat tidak diutamakan? Ia tidak ada.
Apa yang cuba dikatakan oleh Tariq Ramadhan membawa satu persoalan yang lebih besar daripada isu Ikhwan dan Morsi serta rakyat Mesir:
- Bersikap NEUTRAL dan tidak berpihak itu menyelamatkan kita daripada kebutaan melihat kebenaran dan mengkritik kesalahan pemimpin, organisasi dan individu yang berkepentingan (agama, material, peribadi, atau kepentingan lain). Berlogokan Islam tidak menjadikan mereka maksum daripada kesalahan, dan bila berlaku kesalahan mereka wajar dikritik, ini disiplin yang wajib dipegang untuk menyelamatkan kita daripada kerosakan.
- kita mengkritik bukan bermakna kita menghalang Islam daripada berjalan sebab ramai yang beriman dengan 'equation' begini : muslim + pemerintahan = Islam dimartabatkan, sebab itu mengkritik mereka adalah halangan kepada Islam sendiri - mudahnya iman sebegini -. Kalau iman ini yang dipegang dan ditanam dalam minda dan hati maka sampai bilalah kita menghalalkan segala tindakan mereka baik atau buruk sehingga merosakkan Islam sendiri. Jangan kerana atas alasan sesama Islam kita membatukan diri daripada mengkritik perbuatan buruk mereka yang melibatkan kepentingan ramai. Kita bersatu atas prinsip - prinsip yang Islam bawa, (boleh saya katakan Islam itu sendiri - keadilan, kemanusiaan, integriti, hikmah, kasih sayang, kepentingan bersama dan menolak sama sekali perkara yang bercanggah dengan perkara di atas) tanpa mengira bulu apatah lagi seIslam.
- prinsip mudah ini Nabi sudah ajarkan dalam satu potongan hadith yang ringkas - 'andai Fatimah mencuri, aku akan potong tangannya' . Ia petunjuk jelas menjadi muslim tidak menghalang kita daripada bersikap kritikal terhadap saudara seIslam yang lain apabila melibatkan kepentingan awam. Jangan katakan ia satu keaiban. Jika tidak dicegah ia membawa kerosakan lebih besar. Sekiranya ia bersifat individu maka hikmah dan berahsia lebih wajar dan utama.
Masih banyak yang saya mahu katakan, tetapi 'dots' ini banyak yang tidak bersambung dalam fikiran saya and I hardly connect the dots in my head right now. Saya tidak banyak maklumat tetapi ini yang saya nampak dan setakat ini dahulu yang saya mampu konklusikan daripada pemerhatian saya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan