Khamis, 1 Mei 2008

3 Petua tambah rezeki

Oleh: Pahrol Mohd Juoi
Diambil dari fitrahperkasa.net

1. Luaskan…
“Bagaimana nak tambah rezki?”
“Kenapa? Rezki sempit ke?”
“Pendapatan bertambah tapi tanggungan juga bertambah.”
“Kira oklah tu. Sama-sama bertambah.”
“Mana oknya? Kadar pertambahan tanggungan lebih tinggi daripada pendapatan. Anak-anak semua dah besar. Biaya pelajaran tak macam kita dulu, sekarang semuanya meningkat.”
Saya diam. Mengiya dalam diri. Ini realiti.



“Awak macam steady sahaja. Hai, ada apa-apa jalan untuk tambah rezki.”
“Ada,” jawab saya pendek.
“Saya dah agak. Tentu awak ada jawapannya. Tapi macam selalunya… saya tahu benar perangai awak.”
Saya senyum. Dia sahabat rapat saya. Dia sedia maklum, saya bukan ahli ekonomi atau pakar multi level yang punya perancangan perniagaan yang hebat. Saya cuma pendakwah.
“Nak dengar tak?” jolok saya.

“Oklah, kepala awak memang lain. Tapi bagus juga. Pandangan-pandangan awak sebelum ni banyak juga yang saya pakai. Baiklah macam mana nak tambah rezki?” ulangnya sekali lagi.
“Luaskan pengertian kita tentang rezki!” jawab saya pendek.
“Macam mana tu?”
“Apa yang awak selalu ertikan dengan rezki? Makan, wang… betul tak?”
Dia mengangguk.

“Sebenarnya rezki bukan hanya itu. Pengertian rezki luas. Bukan setakat makan dan wang sahaja. Kesihatan juga rezki, begitu juga dengan ilmu, iman, kemampuan beribadah, keamanan, anak-anak, penglihatan, pendengaran… wah macam-macam lagi.”
“Ya tak ya juga ya…”
“Memang ya. Bila pengertian kita tentang rezki luas, maka rezki kita pun luas. Kalau kita ertikan rezki itu sempit, maka sempitlah rezki kita…”
“Selama ni tak terfikir pula yang macam tu.”
“Ingat selalu: Kita ialah apa yang kita fikirkan. Sekurang-kurangnya bila kita fikir macam tu, hati kita akan lapang. Dengan hati lapang ikita boleh hidup tenang walaupun belum hidup senang…”
2. Berikan…
Perbualan kami sementara menunggu komuter diteruskan.
“Ada lagi cara nak tambah rezki?” Fokus perbualannya masih pada tajuk awal.”
“Beri rezki yang ada kepada orang lain,” jawab saya.
“Errr…”
“Ingat, rezki bukan hanya wang, bukan hanya harta.”
“Maksud awak?”
“Rezki yang nak diberikan tidak terbatas pada wang sahaja. Jika itulah maksudnya, memang payahlah kita nak memberi. Hanya sikaya sahaja mampu melakukannya.
“Betul. Rezki dalam bentuk yang lain masih banyak,” ujarnya.
“Kan kita masih mampu tersenyum, jadi berilah senyuman. Kita masih mampu berkata-kata, jadi ucapkanlah sesuatu yang baik dan mengembirakan. Atau setidak-tidaknya kita masih punya hati… bersangka baik dan berdoalah untuk orang lain dengan hati itu.”

“Alhamdulillah, kalau kita terima konsep rezki macam ni kita bukan hanya punya hati yang lapang, tapi juga punya hati yang dermawan.”
“Bukankah ada hadis yang mengatakan Allah sayang kepada orang yang pemurah, tetapi Allah lebih sayang kepada simiskin yang pemurah,” tambah saya.
“Maksudnya, simiskin yang masih mampu memberi… “
“Oleh hatinya pemurah dan fikirannya yang luas tentang rezki!”
“Kemampuan memberi itu bukan terletak pada ada atau tiada tetapi ia soal sikap. Dalam hidup ini, pernah saya temui orang miskin yang lebih pemurah berbanding dengan sikaya.

“Tapi bagaimana memberi boleh menambah rezki? Bukankah memberi itu mengurangkan?”
“Siapa pemberi rezki?”
“Allah, Allah yang Ar Razak,” jawabnya.
“Bila Allah perintahkan, tentu ada hikmah-Nya. Untuk memberi kita mesti terlebih dahulu memiliki. Dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan kemudian memberi… begitu turutannya.”
“Saya masih tak nampak!” akuinya terus terang.

“Saya pernah temui seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya. Bila saya tanya apakah motivasi awalnya semasa memulakan perniagaan, dia menjawab, nak bayar zakat. Itu dorongan nak memberi… Jadi dia berniaga sungguh-sungguh. Dia mencari. Hasilnya, dia untung. Dia memiliki. Kemudian dia layak mengeluarkan zakat. Dia memberi… Dorongan memberi telah membambahkan hartanya! ”
“Tapi saya bukan ahli perniagaan. Mana nak beri harta…” guraunya.
“Berikan senyuman. Niatkan nak menggembirakan orang lain, nanti kita gembira. Seperti memberikan harta untuk menambah kekurangan orang lain, nanti harta kita bertambah.”

3. Syukurkan...
“Cukuplah kita cerita tentang harta dan senyuman… Kita alih topik lain.”
“Tidak, saya masih suka topik ni. Tapi nak kaitkan semua ni dengan iman, dengan Islam… itu rezki yang lebih besar.”
“Nikmat yang tiada taranya.”
“ Kita kena syukur… Alhamdulillah.”
“Itu baru syukur dengan lidah. Mari kita syukur juga dengan anggota dan hati.”

“Maksudnya?”
“Syukur dengan hati ertinya kita rasakan bahawa iman dan Islam itu kurnia daripada Allah. Segalanya hidayah Allah. Hidayah itu ertinya ‘hadiah’… Allah beri hadiah tanpa apa-apa jasa malah tanpa kita minta pun,” tambah saya.
“Menjaga, menghargai hadiah tu tanda syukur kepada Pemberinya.”
“Jika kita persiakan, buat tak endah, tak menghargai kerana tak terasa ‘harganya’ mungkin Pemberinya ambil balik. Berikan kepada orang lain,” ujarnya.
Ambil balik? Murtad? Saya diam. Gerun. Apakah ini yang sedang berlaku kepada bangsa saya (Melayu)?

“Syukur dengan anggota?” tanyanya mengejutkan saya.
“Gunakan nikmat selaras dengan tujuan pengurniaanya. Kenapa Allah berikan iman dan Islam? Untuk beri keamanan, keselamatan, kebahagiaan dan ketenangan pada kehidupan dunia dan akhirat kita. Jadi, ambillah iman dan Islam selaras dengan maksud ia dikurniakan. Itulah panduan. Itulah jalan. Itulah tanda syukur.”
“Bila syukur, Allah tambah. Tambah tenang. Tambah aman.”
“Bila kufur, Allah azab. Makin kacau. Makin derita.”

“Kenapa sukar nak syukur dengan iman dan Islam.”
“Pertama, sebab tak nampak iman dan Islam itu berharga. Macam tak nampak itu nikmat. Itu rezki. Kecur air liur kita nampak tawaran kereta, rumah mewah, pertunjukan pentas, tapi dengan iman… dengan solat, puasa, nasihat, tak terasa apa-apa.”
“Kedua, dah nampak iman berharga tapi tak mahu bersusah-susah kerananya. Kan setiap yang berharga itu ada maharnya? Macamlah, ramai yang nak kaya tapi malas berusaha. Begitu juga ramai yang nak tingkatkan iman tapi enggan bersusah-susah kerananya!”

Tiada ulasan: